Tuesday, June 30, 2009

Prof Chan panjat Gunung Kinabalu kali kedua


2003 2009


Prof Chan panjat Gunung Kinabalu kali kedua pertama pada 29 Disember 2003 dengan isteri dan sekali lagi panjatnya kali kedua pada 11 Jan 2009 bersama 5 orang pelajar HGF227 - Hong Chern Wern (Tahun Grad 2005), Lim Yee Ling (Tahun 3), Ang See Wah (Tahun 3), Teoh Yi Harng (Tahun 3), Clevellend (Tahun 3) dan Josiah Yong Say Jee (Tahun 3). Mount Kinabalu adalah gunung tertinggi di Asia Tenggara, di mana titik puncaknya Low's Peak terletak 4,095.2 meter atas paras laut (13,435.7 kaki). Dengan demikian, suhu jatuh dengan mendadak apabila seseorang memanjat gunung itu. Suhu atas puncak adalah antara 0 hingga 5 darjah Celcius. Jika udara adalah kering, suhu lazim jatuh berkadar 10 o C setiap 1000 meter (lihat Rajah Atas) tetapi jika udara adalah lembap atau tepu dengan lembapan, suhu lazim jatuh berkadar 6 o C setiap 1000 meter (lihat Rajah Atas). Justeru itu, jika suhu permukaan bumi (kaki bukit) Gunung Kinabalu ialah 30 o C, maka di puncaknya (kira-kira 4095.2 m), suhu adalah 6 o C (berdasarkan Kadar Adiabatik Basah sebab udara di gunung sentiasa lembap). Tetapi jika sesuatu hari itu sejuk, iaitu suhu permukaan ialah 24 o C, maka suhu puncak ialah 0 o C, iaitu pada takat beku. Oleh sebab itu, kadang-kala fenomena fros berlaku di puncak.






HGF227 Iklim Cuaca dan Biogeografi


Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Bahagian Geografi
Semester 1, Sidang Akademik 2010/2011

PANDUAN KURSUS

HGF227/3: IKLIM, CUACA DAN BIOGEOGRAFI

1.0 Butir-Butir Kursus

1.1 Kod dan Tajuk Kursus: HGF 227/3 – Iklim, Cuaca Dan Biogeografi

1.2 Pensyarah: Prof. Dr Chan Ngai Weng (Bangunan C11 Bilik 114) & Dr Anisah Lee Abdullah (Bangunan C24)

1.3 Tujuan Kursus

1.3.1 Tujuan penawaran kursus ini termasuk:
· memenuhi syarat pengijazahan
· menyediakan pelajar dengan asas kukuh dalam geografi fizikal
· memberi lebih pilihan kursus dalam geografi fizikal
1.3.2 Tujuan kursus dan hasil pembelajaran kursus ini termasuk:
· pelajar lebih berpengetahuan dalam bioiklim
· pelajar mendapat kelayakan dalam bioiklim
· pelajar berkelayakan memohon kerja sebagai guru, pegawai bioiklim, pegawai jabatan alam sekitar dan lain jabatan berasaskan biologi dan iklim
1.3.3 Tujuan khas kursus ini adalah memberi pengenalan kepada pelajar tentang prinsip-prinsip bioiklim, khususnya berkenaan dengan ciri-ciri dan fenomena-fenomena iklim, cuaca dan biogeografi tropika dan khatulistiwa. Kursus ini juga memperkenalkan para pelajar kepada konsep-konsep asas bioiklim, kaji cuaca dan iklim, penggunaan pendekatan sistem dalam kaji biogeografi dan kaji iklim (sifat-sifat sistem, sistem terbuka, sistem tertutup dan sistem terpencil); sistem bumi-atmosfera, sistem biosfera-atmosfera dan interaksinya, dan sistem-sistem semula jadi lain yang terkandung dalamnya; keseimbangan sistem-sistem tenaga, pola taburan tenaga, perubahan bentuk-bentuk tenaga, jenis-jenis tenaga; tenaga bahangan, imbangan bahangan dan pemindahan tenaga sedunia; aliran tenaga dalam ekosistem, piramid tenaga, bentuk-bentuk lembapan, keseimbangan lembapan atmosfera dan kitaran hidrologi; daya-daya pergerakan atmosfera, edaran umum dan angin tempatan; iklim dan bio-sistem sebagai sumber dan bahaya/bencana; pengaruh bioiklim terhadap seni bina rumah dan bangunan; manusia dan modifikasi iklim; sumber-sumber pencemaran udara (semula jadi, gabungan/kombinasi dan ciptaan manusia), kesan-kesan pencemaran udara terhadap cuaca dan iklim, cara-cara mengawal pencemaran udara daripada segi global, nasional dan tempatan (termasuk individu); fenomena pula haba bandar, kubah habuk dan kesan rumah hijau; dan isu-isu iklim global seperti pemanasan global, penyahhutanan, El Nino dan La Nina, penggurunan, penipisan lapisan ozon, kehabisan sumber air tawar dan isu-isu semasa jerebu, hujan asid, bencana bioiklim, dan lain-lain isu semasa yang berkenaan dengan bioiklim.

1.4 Objektif-Objektif Khas Kursus:
(i) Mengajar asas kajiiklim, biogeografi dan interaksi bioiklim berdasarkan konsep Pendekatan Sistem
(ii) Menghasilkan kesedaran awam yang meluas di kalangan pelajar tentang kepentingan alam sekitar fizikal, khususnya peranan biosfera dan atmosfera
(iii) Mengajar aplikasi metodologi saintifik dalam menganalisa fenomena dalam biosfera dan atmosfera
(iv) Mengajar hubungkait antara putaran bumi dengan peranan matahari dan bumi dalam mempengaruhi alam sekitar bumi
(v) Mengajar struktur, komposisi, dan proses-proses atmosfera yang mempengaruhi bajet tenaga suria
(vi) Mengajar elemen cuaca dan iklim dan menganalisa sistem-sistem cuaca dan jenis-jenis ribut
(vii) Meninjau ciri-ciri lembapan dan peranan air dalam sistem bumi-atmosfera, dan mengkaji kepentingan air untuk kehidupan (pembangunan manusia) dan juga jaga memastikan pengurusan air mapan di dunia yang semakin berkrisis air
(viii) Mengkaji sistem-sistem iklim di dunia dan perkaitannya dengan biosfera
(ix) Mengkaji interaksi antara manusia dengan biosfera dan atmosfera yang berupaya menghasilkan sumber (hutan, ubat, air, tenaga suria dll) dan bencana (ribut, kemarau, malaria, SARS, dll), dan mencari cara-cara untuk menangani masalah-masalah yang timbul.
(x) Mengkaji kesan-kesan positif dan negatif manusia terhadap sistem-sistem bioiklim seperti “Kesan Pulau Haba Bandar”, “Kesan Rumah Hijau/Kaca”, “Pencemaran Udara dan Pemanasan Global”, “Hujan Asid”, “Penyahhutanan dan Biodiversiti”, “Modifikasi Iklim dan Pembuatan Hujan Tiruan, dan lain-lain”, ”Konsep Biodiversiti”, .
(xi) Mengkaji Proses-proses biogeokimia: Kitaran geologi, kitaran hidrologi, kitaran kimia (organik dan bukan organik).
(xii) Mengkaji Interaksi antara kitaran biogeokimia dengan semua sistem bumi
(xiii) Interaksi atmosfera/ litosfera/ hidrosfera/ biosfera – kitaran biogeokimia.
(xiv) Aliran Tenaga dalam Persekitaran.
(xv) Perkaitan biogeokimia, biodiversiti dan aliran tenaga dalam proses persekitaran
(xvi) Kesan-kesan pencemaran, isu-isu iklim setempat dan global dan pengaruh antropogenik dalam kitaran biogeografi/biodiversiti
(xvii) Aplikasi teknologi penderiaan jauh dalam pengesanan biodiversiti, kesan pencemaran dan pengaruh antropogenik.
(xviii) Menyediakan pelajar-pelajar dengan asas mencukupi dalam Geografi Fizikal, Kaji Iklim dan Meteorologi, supaya mereka berupaya major dalam bidang-bidang tersebut nanti

1.5 Sinopsis Kursus

Pengenalan kepada prinsip-prinsip cuaca dan iklim, khususnya berkenaan dengan ciri-ciri dan fenomena-fenomena iklim tropika dan khatulistiwa. Mendedahkan para pelajar kepada konsep-konsep asas kaji cuaca dan iklim, penggunaan pendekatan sistem dalam kaji iklim (sifat-sifat sistem, sistem terbuka, sistem tertutup dan sistem terpencil); sistem bumi-atmosfera dan sistem-sistem semula jadi yang terkandung dalamnya; keseimbangan sistem-sistem tenaga, pola taburan tenaga, perubahan bentuk-bentuk tenaga dan jenis-jenis tenaga; tenaga bahangan, imbangan bahangan dan pemindahan tenaga sedunia; bentuk-bentuk lembapan, keseimbangan lembapan atmosfera dan kitaran hidrologi; daya-daya pergerakan atmosfera, edaran umum dan angin tempatan; iklim sebagai sumber dan bahaya/bencana; pengaruh iklim terhadap seni bina rumah dan bangunan; manusia dan modifikasi iklim; sumber-sumber pencemaran udara (semula jadi, gabungan/kombinasi dan ciptaan manusia), kesan-kesan pencemaran udara terhadap cuaca dan iklim, cara-cara mengawal pencemaran udara daripada segi global, nasional dan tempatan (termasuk individu); fenomena pula haba bandar, kubah habuk dan kesan rumah hijau; dan isu-isu iklim global seperti pemanasan global, El Nino dan La Nina, penggurunan, penipisan lapisan ozon, kehabisan sumber air tawar dan isu-isu semasa jerebu, hujan asid, bencana iklim, dan lain-lain isu yang berkenaan dengan cuaca dan iklim.

Pengenalan kepada proses-proses biogeokimia secara am dan secara khusus yang melibatkan interaksi proses-proses ini dengan kesemua sistem bumi iaitu atmosfera, hidrosfera, biosfera dan litosfera. Kesan-kesan pencemaran, isu-isu iklim setempat dan global dan pengaruh antropogenik dalam kitaran biogeokimia juga akan dibincangkan. Konsep biodiversiti yang berkait rapat dengan proses biogeokimia serta kepentingan biodiversiti dalam imbangan persekitaran juga akan diperkenalkan dan dibincangkan. Aliran tenaga dalam persekitaran dalam kursus ini akan mengaitkan kesemua proses biogeokimia, interaksi antara proses-proses ini dengan sistem bumi yang seterusnya berkaitan dengan biodiversiti serta keseimbangan secara menyeluruh dalam suatu persekitaran .

1.6 Silibus Kursus dan Pembahagian Kuliah-Kuliah

1.6.1 Bahagian Iklim dan Cuaca
Minggu - Tajuk Kuliah
1 - Tenaga Suria sebagai sumber tenaga tunggal yang menggerakkan sistem-sistem cuaca dan sistem-sistem dan proses-proses fizikal di bumi-atmosfera;
2 - Perkaitan Matahari-Bumi
3 - Interaksi Atmosfera, Hidrosfera, Biosfera, Litosfera, Kriosfera, Fitosfera dan Antroposfera;
4 - Proses-Proses Atmosferik dan taburan geografik bahangan matahari, lembapan, tekanan, dan peredaran atmosfera dan lautan yang berinteraksi untuk menghasilkan sistem-sistem cuaca dan ribut;
5 - Pengaruh Iklim dan Ciri-Ciri Air; Sumber Air di Bumi dan Pembangunan Sumber Air Mapan; 6 - Pengelasan Iklim & Pola-Pola Iklim Global dan interaksinya dengan atmosfera;
7 - Cuti Pertengahan Semester
8 - Interaksi Sistem Manusia-Sistem Semula Jadi yang mewujudkan sumber alam (air, tenaga suria-angin-ombak-letrik hidro, tanah, hutan, dll.) atau bencana (banjir, kemarau, pencemaran, tanah runtuh, dll.) & Perubahan Iklim, Pencemaran Udara, Pemodifikasi Iklim, dan Kelainan Iklim
1.6.2 Bahagian Biogeografi
9 - Proses-proses biogeokimia: Kitaran geologi, kitaran hidrologi, kitaran kimia (organik dan bukan organik).
10 - Interaksi antara kitaran biogeokimia dengan semua sistem bumi
Interaksi atmosfera/ litosfera/ hidrosfera/ biosfera – kitaran biogeokimia.
11 - Konsep Biodiversiti
Kepentingan Biodiversiti dalam proses dan imbangan persekitaran
12 - Aliran Tenaga dalam Persekitaran.
Perkaitan biogeokimia, biodiversiti dan aliran tenaga dalam proses persekitaran.
13 - Kesan-kesan pencemaran, isu-isu iklim setempat dan global dan pengaruh antropogenik dalam kitaran biogeografi/biodiversiti (Bahagian 1).
14 - Kesan-kesan pencemaran, isu-isu iklim setempat dan global dan pengaruh antropogenik dalam kitaran biogeografi/biodiversiti (Bahagian 2).
15&16 - Aplikasi teknologi penderiaan jauh dalam pengesanan biodiversiti, kesan pencemaran dan pengaruh antropogenik.
17 - Minggu Ulang Kaji
18-20 - Peperiksaan Akhir

1.7 Pengenalan kepada Bioiklim

Menurut Bangsa-Bangsa Bersatu, ancaman terbesar sedunia pada abda ke-21 ini bukannya ancaman peperangan nukliar, wabak penyakit AIDS, SARS atau wabak-wabak penyakit lain, kebuluran, tsunami, atau sebarang ancaman manusia tetapi ancaman dari iklim. Pengaruh manusia yang menyeluruh sejak revolusi industri telah membawa banyak kesan buruk terhadap iklim. Yang paling ketara dan merbahaya pada hari ini dan masa depan ialah ancaman Pemanasan Global. Kesan pemanasan global adalah dirasai di seluruh dunia. Tidak ada sesiapa pun yang boleh lari daripada kesannya, baik mereka yang tinggal di Kutub Utara, Antartika, ataupun mereka yang tinggal di gurun atau khatulistiwa. Seluruh bumi akan mengalami kesanya. Itulah sebab pemanasan global dikata sebagai ancaman paling merbahaya kepada tamadun manusia. Jika manusia tidak dapat menangani masalah itu, masa depan manusia adalah buruk sebab banyak kesan-kesan buruk akan membawa maut. Bumi merupakan planet tunggal yang mempunyai hidupan (berdasarkan pengetahuan kini), dan ini adalah sebab iklim bumi amat sesuai untuk hidupan. Bumi juga mempunyai lapisan atmosfera yang mengandungi gas-gas yang diperlukan oleh hidupan. Atmosfera juga merupakan perlindung kepada sinaran-sinaran suria dan kosmik yang berbahaya, selain menjalankan fungsi-fungsi lain. Bumi yang berbentuk sfera dan berputar di atas paksinya pada sudut-sudut berbeza-beza mengikut musim mempunyai banyak ketidakseimbangan, baik daripada segi taburan tenaga, haba, suhu, tekanan, lembapan, jisim, udara dan lain-lain. Dengan tambahnya suatu lapisan atmosfera yang bersifat dinamik, maka tambahnya juga ketidakseimbangan tersebut. Iklim dan cuaca dan fenomena yang terkandung dalamnya merupakan agen-agen yang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut. Pada dasarnya, iklim dan cuaca mempunyai interaksi rapat dengan fenomena-fenomena fizikal yang lain dalam sistem bumi-atmosfera. Kedua-duanya juga mempengaruhi hampir segala aktiviti manusia. Justeru itu, kaji iklim dan cuaca merupakan suatu bidang khusus yang mengkaji tentang interaksi di antara permukaan bumi, atmosfera dan tenaga matahari, dan juga tentang kesan‑kesan akibat interaksi tersebut. Di dalam dunia moden, interaksi di antara manusia dengan unsur‑unsur iklim yang menjadi semakin penting juga dikaji.

Cuaca dan iklim, serta alam udara dalam mana fenomena‑fenomena cuaca dan iklim berlaku, merupakan sebahagian besar alam asli yang boleh dikatakan meliputi segala bahagian dan segala peristiwa zon pertemuan bumi dengan biosfera dan atmosfera. Udara adalah salah satu daripada unsur‑unsur utama yang menjaminkan stabiliti, keadaan mantap, dan pengekalan alam asli pada keseluruhannya. Hal ini berlaku melalui berbagai‑bagai bentuk aliran, kitaran, pertalian, dan perhubungan yang wujud terhadap tenaga, lembapan dan bahan‑bahan asas lain. Justeru itu, sebagai ”Penjaga (Steward)” ”Kapal Angkasa Bumi” (Spaceship Earth) ini, manusia haruslah mengerti sifat dan keadaan alam udara agar unsur‑unsurnya yang berfaedah (ataupun unsur‑unsur membina) kepada alam asli, dan manusia sendiri, dapat digunakan secara optima dan kesan‑kesan buruk akibat daripada unsur‑unsur negatif (ataupun yang membinasa) dapat dikurangkan dan, kalau boleh dielakkan samasekali. Dengan adanya suatu pandangan yang sihat tentang alam udara baru kita dapat melangkah ke arah suatu kehidupan yang berharmoni dengan persekitaran kita, di mana penyalahgunaannya yang membawa kepada pencemaran dan "sakit‑sakit" alam asli yang lain di dalam alam sekitar dan sumber alam dapat dikurangkan.

Tema kursus ini, ialah (selain daripada tujuan‑tujuan ilmiah atau akademik) untuk menanam dan memupuk suatu kesedaran tentang proses‑proses, sistem‑sistem dan unsur‑unsur atmosfera yang memainkan suatu peranan asas yang penting di dalam mempengaruhi bumi melalui cuaca dan iklim. Sebaliknya pula, peranan manusia di dalam pengubahsuaian cuaca dan iklim untuk tujuan‑tujuan tertentu akan diberi perhatian yang sewajarnya. Adalah diharapkan bahawa semasa tamatnya kursus ini, ilmu pengetahuan yang telah diperolehi akan berjaya melahirkan di dalam pelajar‑pelajar, pengetahuan, pemahaman dan penilaian yang luas dan dalam mengenai faktor‑faktor, proses‑proses, dan sistem‑sistem atmosfera yang mewujudkan pola‑pola cuaca dan iklim di dunia, khususnya daripada segi pengaruhnya ke atas lapisan hidup di atas permukaan bumi pada amnya, dan kegiatan manusia pada khasnya. Untuk mencapai objektif ini, pada mulanya penekanan akan diberi kepada peranan, taburan dan imbangan tenaga, lembapan dan massa di dalam atmosfera serta corak‑corak pergerakan udara. Bahagian ini diharapkan dapat memberi suatu asas bagi bahagian berikutnya, iaitu kaji iklim gunaan. Di dalam bahagian kedua ini pula, perhatian akan diberi kepada beberapa aspek kaji iklim gunaan seperti kaji iklim pertanian, perubahan cuaca dan iklim, dan atmosfera, dan iklim sebagai suatu sumber alam. Ini bertujuan untuk meninjau bagaimana dan sejauhmana keadaan cuaca dan iklim mempengaruhi kegiatan‑kegiatan manusia pada amnya dan alam sekitar pada keseluruhannya. Sebaliknya, soal bagaimana kegiatan‑kegiatan manusia mempengaruhi unsur‑unsur cuaca dan iklim juga akan dikaji.

Pada dasarnya, bidang biogeografi dan kaji iklim adalah sangat luas dan mengandungi banyak sub bidang atau bahagian; setengah‑setengahnya adalah amat terkhusus. Oleh sebab itu, hanya beberapa tajuk sahaja dipilih untuk kursus bioiklim ini; tajuk‑tajuk ini meliputi aspek‑aspek tertentu di dalam bahagian‑bahagian seperti Asas Biogeografi, Aliran Tenaga Ekosistem, Biodiversiti, Kaji Iklim Fizikal, Kaji Iklim Dinamik, Kaji Iklim Wilayah, Kaji Iklim Hayat, Kaji Iklim Pertanian, Kaji Iklim Bandar, Kaji Iklim Mikro, dan lain-lain. Di mana‑mana yang perlu aspek‑aspek interaksi antara biogeografi (biosfera) dan kaji iklim (atmosfera) serta interaksi dengan manusia (antroposfera) akan diberi penekanan. Ini adalah sebab manusia kini berteknologi dan berpengetahuan tinggi berupaya bukan sahaja menyesuaikan aktiviti kepada perubahan iklim dan biosfera, tetapi lebih-lebih lagi berupaya menggubah dan berpotensi memusnahkan biosfera dan atmosfera jika kegiatannya tidak terkawal. Satu contoh ketara ialah berlakunya pemanasan global masa kini yang setakat ini tidak nampak ada penyelesaiannya. Kurus ini cuba membincangkan cara-cara untuk menangani isu ini. Sepanjang kursus ini, keadaan cuaca dan iklim di kawasan tropika lembap khususnya, Asia Tenggara dan Selatan akan dititikberatkan. Pendekatan yang akan digunakan di dalam kajian atmosfera, cuaca, dan iklim ialah pendekatan "sistem". Adalah jelas bahawa bagi tujuan mengikuti kursus ini secara memuaskan dan berfaedah, latarbelakang yang sesuai daripada segi prinsip‑prinsip asas fizikal, kimia, biologi adalah diperlukan. Walaupun begitu, usaha‑usaha akan dibuat sedaya upaya bagi memperkenalkan dan menjelaskan aspek‑aspek teoretikal dan konsep pada setiap sub bidang yang akan dibincang di dalam kursus ini. Tugas‑tugas tertentu di dalam kursus ini termasuk latihan‑latihan, tutorial‑tutorial, seminar‑seminar, esei‑esei, dan ujian‑ujian penilaian (objektif dan subjektif) yang akan diberi dari semasa ke semasa. Tambahan pula, kajian‑kajian luar[1] akan diadakan untuk mendedahkan pelajar‑pelajar kepada dunia sebenar terhadap saling tindakan di antara iklim dan manusia dan juga pola‑pola cuaca dan iklim tertentu.

1.8 PENILAIAN KURSUS

(A) KERJA KURSUS (30 %)
(i) Esei (20 %) - Pelajar perlu jumpa pensyarah untuk memilih topik esei. Satu senarai topik-topik esei akan disediakan. Setiap pelajar akan mendaftar untuk satu topik tersendiri. Tiada dua orang pelajar yang akan mempunyai topik yang sama. Topik yang telah didaftar tidak boleh didaftar lagi. Pelajar dinasihatkan datang awal untuk memilih topik. Panjang esei adalah kira-kira antara 2,000 hingga 3,000 perkataan yang bersaiz font 12 Times Roman dan bertaip "SINGLE SPACING" (tidak termasuk jadual, rajah, peta dan rujukan). Selaras dengan Misi USM sebagai sebuah universiti sejahtera yang terkemuka dalam pembangunan lestari (lihat http://healthycampus.usm.my/), esei kursus ini wajib dihantar kepada pensyarah sebagai ”SOFT COPY” melalui email (Prof Chan Ngai Weng [nwchan@usm.my] atau email kepada Dr Anisah Lee Abdullah [anisah@usm.my]. Pastikan anda email kepada pensyarah yang mengeluarkan topik esei anda. Jika silap, markah sifar akan diberi. Semasa menghantar esei melalui email, pelajar perlu tulis HGF227 – Nama Pelajar dalam Sabjek & Fail esei mesti disimpan sebagai HGF227-Nama pelajar.doc (contoh: HGF227-Siti_Nurhaliza.doc). Pengesahan Penerimaan akan dihantar oleh pensyarah melalui email. Pelajar perlu cetak email penerimaan sebagai bukti.

Format Esei: Esei mesti mengandungi semua daripada berikut:
(a) Kod Kertas, Tajuk Esei, Nama Pelajar, Nombor Metrik Pelajar dan Nama Pensyarah (Halaman 1). Di bawah butir-butir tersebut, mulakan esei.
(b) Isi Esei (Halaman 1 - 8)
(c) Kesimpulan (Perenggan Akhir dalam Halaman 8 dan berpanjangan kira-kira 500 perkataan).
(d) Rujukan/Bibliografi (Contoh Buku: Chan, N. W. (1995) Asas Kaji Iklim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka; Contoh Makalah Dalam Jurnal: Chan, N. W. dan Wan Ruslan Ismail (1997) Impak Manusia Terhadap Unsur-Unsur Kitaran Hidrologi Di Malaysia. Ilmu Alam 23, Mei, 41 - 58.; Contoh Makalah Dalam Surat Khabar: Chan, N.W. (1996) Bandar dan banjir kilat. Utusan Malaysia, 17 Oktober, m.s. 7. Contoh Bab Dalam Buku: Chan, N.W. (1998) Bab 54 - Flash and monsoon flooding. Dalam Sham Sani (Editor) The Encyclopaedia of Malaysia - Volume I Environment. Singapore: Editions Didier Millet, m.s. 112-113). Setiap rujukan mesti mengandungi nama pengarang, tahun diterbit, tajuk penerbitan, nama penerbit, tempat diterbit, dan muka surat yang dirujuk).
(e) Penyerahan Esei: Pelajar hanya perlu menghantar 1 Salinan Softcopy dalam bentuk format Microsoft Word (Pastikan komputer yang anda gunakan tidak berVIRUS. Sesiapa yang hantar fail mengandungi virus akan didenda dengan potongan markah). Sebarang gambarajah, peta, graf dan foto perlu discan dan dimasukkan ke dalam softcopy tersebut.
(f) Markah Sifar: Mereka yang tidak mematuhi arahan-arahan tersebut akan didenda dengan potongan markah. Esei yang dihantar lewat tidak akan diterima dan diberi markah Sifar (0)
(g) Bahasa: Pelajar hanya diberi pilihan menulis esei dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Ciplakan – Pelajar diingatkan bahawa penyalinan mana-mana bahagian esei pelajar lain, penulis buku/makalah atau mana-mana tulisan yang bukan hasil sendiri tanpa memberi rujukan adalah bersalah. Mereka yang bersalah akan diberi markah sifar. Ada kemungkinan mereka yang didapati bersalah (jika dilaporkan ke Majlis Tertinggi Universiti) akan disingkir dari universiti).

Tarikh Akhir Serah Esei ialah – 27 Ogos Jumaat 2010 pukul 5.00 petang (melalui email - sila ambil perhatian bahawa tarikh dan masa hantaran email anda akan ternampak dalam email). Lewat 1 hari tolak 5 %. Lewat 4 hari, tolak 20%, jadi markah esei = 0.
(ii) Ujian (5 %) – DUA (2) Ujian Objektif akan diadakan sepanjang semester seperti berikut:
Ujian #1 (Bahagian Iklim) – Pada tengah bulan Februari 2010, akan diberitahu.
Ujian #2 (Bahagian Biogeografi) – Pada awal bulan April 2010, akan diberitahu.

Mereka yang tidak hadir pada tarikh ujian yang ditetapkan akan menerima markah sifar. Tiada ujian ganti yang akan diadakan. Bentuk ujian akan diumumkan oleh pensyarah masing-masing.

(B) PEPERIKSAAN AKHIR (70 %)
Soalan-soalan peperiksaan akhir adalah berbentuk soalan esei. Pelajar-pelajar diwajibkan menjawab 4 soalan daripada 8 soalan yang dikemukakan. Soalan-soalan akan dibahagikan kepada: Bahagian A [Iklim dan Cuaca] dan Bahagian B [Biogeografi]. Pelajar-pelajar diwajibkan menjawab 2 soalan dari setiap bahagian dalam masa 3 jam.

1.9 BAHAN-BAHAN RUJUKAN
Abdul Malek Abdul Rahman (2000) Keselesaan Terma Di Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Abdullah, A.L. and Z. Yasin (1998). Seagrasses of Pulau Sipadan, Sabah, Malaysia: A Preliminary Survey. Malayan Nature Journal 1998, 52(3&4): 223-235.
Abdullah, A.L. and Z. Yasin (2002). The Fringing Reefs of Teluk Dedap, Tanjung Rhu: Its distribution and characteristics. A self-funded short-term grant report 2002. [Self-funded short-term grant endorsed by School of Humanities, 2001-2002)
Abdullah, A.L., and Z. Yasin (2001). The Changes in the Fringing Reefs of North Langkawi. Proceedings of the Asian Wetland Symposium 2001 – Bringing Partnerships into Good Wetland Practices, Pulau Pinang, Malaysia, 27 – 30 August 2001.
Abdullah, A.L., Z. Yasin, W.R. Ruslan, B. Shutes and M. Fitzsimons (2002). The effect of early coastal development on the fringing coral reefs of Langkawi: a study in small scale changes. Malaysian Journal of Remote Sensing & GIS, 3:1-10
Ahmad Sanusi Hassan dan Ku Azhar Ku Hassan (2001) Corak Perumahan Tradisional Berkepadatan Tinggi: Perkampungan di Sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Botkin, D.B. and E.A. Keller (2003). Environmental Science: earth as a living planet. 4th edition A Wiley-Interscience Publication.
Chan, N. W. (1995) Asas Kaji Iklim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chan, N.W. (2002) Pembangunan, Pembandaran dan Peningkatan Bahaya dan Bencana Air di Malaysia: Isu, Pengurusan dan Cabaran. Penang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Chan, N.W. (2004) Managing Water Resources in the 21st Century: Involving All Stakeholders Towards Sustainable Water Resources Management in Malaysia. Bangi: Environmental Management Programme, Centre for Graduate Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Chan, N.W. (2008) Iklim Dan Cuaca. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.
Chan, N.W. dan Anisah Lee Abdullah (2008) Geografi Fizikal. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

Christopherson, R.W. (2000) Geosystems. Edisi 4. Upper Saddle River, New Jersey: Prentice-Hall.
Day, J.W. Jr., C.A.S. Hall, W.M. Kemp, and A. Yanêz-Arancibia (1988). Estuarine Ecology. A Wiley-Interscience Publication.
Gates, D.M. (1980). Biophysical Ecology. New York:Springer-Verlag.
Koenigsberger, O.H., Ingersoll, T.G., Mayhew, A. dan Szokolay, S.V. (1994) Manual Perumahan dan Bangunan Tropika. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Liu, P.I. (1993). Introduction to Energy and the Environment. New York: Van Nostrand Reinhold.
Mohammad Ilyas (ed.) (1991) Ozone Depletion: Implications for the Tropics. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia dan United Nations Environmental Programme.
Morowitz. H.J. (1979). Energy Flow in Biology. Woodbridge. Conn.:Oxbow.
Pimentel, D. (1992). Conserving Biological Diversity in Agricultural / Forestry Systems. BioScience 42:354-362.
Rosenberg, N.J. (1988) Iklim Mikro: Persekitaran Biologi. Kuala Lumpur: DBP
Shaharuddin Ahmad (2001) Pengantar Sains Atmosfera. Bangi: Penerbit UKM.
Sham Sani (1983) Pengantar Cuaca Dan Iklim. Kuala Lumpur: DBP.
Sham Sani (1995) Iklim Mikro – Proses Dan Aplikasi. Kuala Lumpur: DBP.
Strahler, A.N. (1978) Geografi Fizikal. Kuala Lumpur: John Wiley & Sons.
Wilson, E.O. (1988). Biodiversity. Washington, D.C.: National Academy Press.
Wilson, E.O. (1992). The diversity of life. New York: W.W. Norton.

LAMAN WEB KURSUS HGF227
http://hgf223.tripod.com/hgf227iklimdancuaca/
http://climate.weather.com/blogs/
http://climateweather.blogspot.com/
[1] Dari masa ke semasa, kajian luar akan diadakan. Walaubagaimanapun, hal ini juga bergantung kepada faktor-faktor lain seperti kemudahan pengangkutan, peralatan, masa dan lain-lain. Pelajar-pelajar akan diberitahu terlebih awal sekiranya kajian luar diperlukan. Pelajar harus bersedia.